Sunday, February 12, 2012

Dari Utara ke Selatan



 Setelah berehat selama 4 hari bagi cuti Tahun Baru China, Putrajaya dan kawasan yang sewaktunya minggu lalu bercuti lagi selama 4 hari kerana cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam. Sayang sekali jika cuti panjang begini dihabiskan di rumah sahaja lalu aku bersama Kak Muzie yang kebetulan sudah pun memulakan kerja barunya di KL, tidak teragak-agak untuk pulang ke Penang pada Sabtu 4 Februari. Rancangannya kami ingin pulang ke rumah aku sahaja pada hari Isnin, tetapi terjebak pula dengan rancangan Ecah untuk ke Melaka pada hari tersebut dan berehat semalam di A Famosa Resort, Melaka.
Pagi-pagi Sabtu aku telah sampai di rumah Ecah untuk menjemput Kak Muzie. Sudah terbiasa dengan ahli-ahli rumah, aku terus menuju ke dapur. Tak tahan dengan keenakkan lempeng panas dicecah bersama asam pedas ikan pari yang dihidangkan, hampir sejam juga kami bersarapan sebelum memulakan perjalanan. Hebat air tangan si Ecah ni.
Seperti biasa, aku mensasarkan yang kami perlu sampai di Juru pada waktu makan tengahari. Kali ini bukan nasi ikan bawal, sebaliknya ingin mencuba pula nasi ketam di Warung Pak Su. Tidak susah untuk mencari kedai makan ini kerana hanya terletak di tepi jalan. Ketika tiba, agak ramai pengunjung dan kelihatan di meja masing-masing bersepah dengan kulit ketam. Adatlah, tidak namanya makan ketam jika meja tidak bersepah. Menu istimewa di sini adalah ketam masak bercili dan satu set untuk seorang makan mengandungi 2 ekor ketam sederhana. Kami memesan satu set ketam sahaja bersama kailan goreng ikan masin, jenuh juga kalau seorang perlu habiskan 2 ekor ketam. Pendapat aku? Hmm biasa sahaja rasanya kerana aku pernah masak ketam bercili yang lagi sedap…kawan aku Baiti masak pun sedap juga. Bukan memuji diri, tapi citarasa manusia ini berbeza-beza. Selagi kita tak mencuba kita takkan tahu rasa sebenarnya.
Agak lewat tengahari barulah kami selesai mengerjakan ketam-ketam itu dan terus menuju ke rumah Lenny di Batu Uban. Kepenatan seharian memandu ditambah pula dengan perut yang kenyang menyebabkan aku hanya mampu terlentang di atas katil dan terus terlelap.
Aktiviti malam diteruskan pula dengan agenda wajib, apalagi kalau bukan makan malam di Padang Brown. Tempat makan ini tidak pernah menjemukan aku, semua menunya sedap belaka.  Dan yang paling aku suka sebenarnya saat dapat berkumpul dengan rakan-rakan baikku di Penang ini sambil menikmati pelbagai jenis makanan Penang. Lenny dan Coline tidak pernah gagal menjadi tuan rumah yang baik dalam semua saat aku berada di Penang.
Keesokkannya, Ahad, kami berempat bersama si budak kecil Irfan ke Taman Tun Sardon dahulu untuk bersarapan. Rindu aku pada apam serabai dan sandwich ketam (ketam lagi!)  yang sememangnya tidak terdapat di tempat lain.

Sudah banyak kali aku ke Penang ini tetapi tidak pernah sekali pun naik ke Bukit Bendera. Tetapi kali ini oleh kerana tiada aktiviti lain selain makan, kami gagahkan juga beratur panjang dalam cuaca terik mentari di samping ratusan manusia yang lain.
Sememangnya keretapi Bukit Bendera ini telah banyak berubah. Kalau dahulu memakan masa selama lebih kurang 45 minit untuk sampai ke atas, kini dengan coach baru, 5 minit sahaja sudah sampai di atas.


Sesampai di atas, pengunjung lain telah pun memenuhi segenap sudut Bukit Bendera. Tarikan utama pastinya pemandangan Georgetown dari ketinggian 823 meter dari aras laut. Rupanya ada penduduk juga di atas bukit ini tetapi tidak lah ramai. Agak penat untuk berjalan, kami memilih untuk menyewa buggy yang membawa pengunjung bersiar-siar di sekitar kawasan Bukit Bendera. Pemandu buggy juga agak ramah menceritakan sejarah bangunan-bangunan kolonial yang terdapat di sini.
Hampir jam 2 petang barulah kami turun dari Bukit Bendera. Terasa lapar, mulanya aku berhasrat untuk menikmati nasi kandar Kampong Melayu yang terletak tidak jauh dari Bukit Bendera ini, tapi rupanya kedai ini hanya beroperasi pada waktu pagi sahaja. Kami sebaliknya ke restoran Kapitan di Georgetown untuk menikmati tandoori terbaik bagi aku di Penang ini. Puas hati dapat menikmati beriani ayam dan roti nan cheese di sini.

Selepas makan jam telah hampir ke pukul 4 petang, kami terus pulang ke rumah, agak penat seharian berjalan dalam cuaca terik. Sebelah malam, kami menghabiskan masa di rumah Coline yang tiba-tiba rajin pula memasak laksa Johor dan kek coklat. Bukannya apa, sempena ulangtahun pertama perkahwinannya. Sambil makan kami melayan movie Johnny English:Reborn, tidak kering gusi dibuatnya.

Pagi-pagi Isnin, aku dan Kak Muzie telah bersiap, hari ini kami akan terus ke Melaka; Ecah bersama keluarganya pula menunggu. Sebelum bergerak keluar dari pulau, kami bersarapan di kedai roti canai di Jalan Argyll; antara roti canai yang paling enak pada aku ditambah pula dengan kepekatan kari dagingnya.

Jam 11.30 pagi barulah kami bergerak meninggalkan Penang dan terus ke Melaka tanpa menyinggah ke mana-mana. Mulanya aku fikir ingin singgah dulu di Taiping, tapi disebabkan waktu yang tidak mengizinkan kami hanya berhenti di Restoran Jejantas Sg. Buloh pada waktu Zuhur sebelum meneruskan perjalanan.

Tiba di Melaka hampir jam 5 petang; Ecah menyuruh kami terus ke A Famosa Resort kerana disinilah kami akan menginap.  Kami menyewa sebuah villa 3 bilik lengkap dengan kolam renang. Villa ini agak selesa dan sesuai untuk dibuat acara perjumpaan keluarga dan sebagainya.

Waktu malamnya hanya aku dan Kak Muzie sahaja yang berminat untuk ke Bandar Melaka sementara yang lain sekadar ingin berehat di villa. Kami menghabiskan waktu bersiar-siar di kawasan Bandar Hilir sebelum pulang semula ke villa.



Tengahari Selasa kami berpecah bergerak meninggalkan A Famosa Resort, aku, kak muzie, Enal dan ibunya satu kereta bergerak pulang manakala Ecah bersami ibunya, makcik Hamidah dan si kecil Ika pula menuju ke Johor. Ecah masih bercuti sehingga Rabu mengambil peluang ke Johor Premium Outlet. Aku memandu ke Klang untuk menghantar Enal dan ibunya. Lewat petang barulah aku selamat tiba di rumahku, itupun aku mengambil kira masa untuk kami berehat kerana hari Rabu aku akan mula bekerja manakala Kak Muzie aku kira baru nak teruja kerana percutian sebenar beliau akan bermula ketika berangkat menuju ke Hong Kong pada jam 1 tengahari.


Begitulah cuti 4 hari lepas berlalu dalam hidupku. Hari-hari yang sibuk pula menanti esoknya. Signing off~~

Thursday, January 26, 2012

What's The Plan?


Bulan Januari semakin tiba di penghujungnya. Sehingga hari ini, aku masih lagi tidak mempunyai sebarang perancangan bercuti untuk tahun 2012. No plan…no ticket….no booking…nothing at all. Yang ada hanyalah bualan kosong bersama kawan-kawan ingin ke sana sini…tetapi tiada siapa yang berani memberi kata putus…padahal aku telah pun menjangkakan waktu-waktu yang sesuai untuk bercuti pada tahun ini sejak awal tahun 2011 lagi…demi meminimumkan jumlah cuti bekerja yang perlu diambil.
Bagi mereka yang telah maklum dengan kegiatanku sudah  mula bertanya…."Cuti nanti pergi mana?"...."Tahun ni pergi bercuti ke negara mana?"…jawabku pula..."Belum tahu lagi." Kawan-kawan pula ada yang akan melahirkan anak, ada yang ingin fokus pada bisnes dan ada juga yang mahu menyimpan. Apa pun alasan mereka…sebagai kawan kenalah hormati…..mungkin suatu hari nanti aku pula di tempat mereka.
Mulanya aku juga fikir aku ingin lebih menyimpan dan buat apa yang patut sahaja….tetapi jauh di lubuk hati aku rasa seakan kehilangan sesuatu dalam diri. Perasaan ingin melihat sesuatu yang baru dan merasai pengalaman baru di luar sana begitu membuak-buak. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku mengembara seorang diri ala-ala Samantha Brown, Anthony Bourdain atau sekurang-kurangnya macam Mr. Tepak Sireh. Terdetik di hati ingin aku redah sahaja ke mana-mana asalkan dapat lari dari rutin harian hidup. Yang penting kena yakin dan berani. Tanpa keberanian mimpi takkan menjadi kenyataan kan?

Saturday, December 31, 2011

Lesson Learned in 2011

Hari ini tahun 2011 akan melabuhkan tirainya. Sekejap sahaja masa berlalu. Bertambahnya tahun..bertambah lagi usiaku..bertambah dekat pula dengan kematian.

Sepanjang tahun hidup aku seperti biasa ada turun naiknya...ada suka dukanya..tidak kurang juga kesilapan sebagai manusia biasa...tapi itu sebenarnya menambahkan lagi pengalaman buatku. Sukar rasanya untuk seseorang hidup sempurna tanpa melakukan kesilapan.

Banyak yang aku belajar dari kesilapan diriku mahupun kesilapan orang-orang di sekelilingku. Namun pengajaran yang ingin aku kongsikan disini betul-betul terkesan di hati dan fikiranku.

Jujurnya aku berkawan tanpa mengira siapa pun mereka..apa pun pekerjaan mereka...asal usul mereka...rupa paras mereka...asalkan mereka juga jujur dan ikhlas dalam menjalinkan persahabatan denganku. Tapi rupanya tidak semua orang begitu, ada yang mencari kita apabila ditimpa kesusahan..apabila dia berasa senang kawan inilah yang dilupakan. Tak kurang juga ada yang suka mengambil kesempatan dan ingin mempergunakan kita.

Jadi mulai hari ini aku akan lebih menghargai mereka yang sentiasa jujur dan ikhlas denganku daripada orang-orang yang nampak luaran sahaja cantik molek tapi tak pandai menggunakan akal untuk menghargai persahabatan dan hanya mencari kita untuk kepentingan dirinya sahaja. Rupa paras bukan ukuran hati budi seseorang.

Buat semua sahabatku, terima kasih kerana masih sudi berkawan denganku ini yang tidak punya apa..rupa tiada..akal pun kurang..harta jauh sekali. Tapi ketahuilah bahawa aku ada bahu yang kuat untuk menampung tangisan kalian, sepasang tangan untuk aku panjatkan doa untuk kebahgiaan kalian dan sekeping hati yang kecil untuk menghargai kasih sayang seorang sahabat. Semoga persahabatan kita kekal sehingga akhir hayat.

Seperti tahun sudah, tiada apa yang aku harapkan untuk tahun 2012 ini. Biarlah semua berlaku mengikut ketentuanNya. Aku pasrah bukan bermakna aku menyerah...tapi aku ingin berdamai dengan takdir. Selamat Tahun Baru 2012. Signing off~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...